Friday, July 9, 2010

Dari Mimbar Masjid Salahuddin Desa Bayu 9 Julai 2010










Saya balik lambat sedikit dari pejabat tengahari ini. Dengan sedikit validasi klausa kontrak yang perlu dilangsaikan, sesi pow wow mingguan dengan 5 bakal pegawai jurutera dari UPNM yang menjalani latihan sambil kerja (OJT) 3 bulan di organisasi saya serta sedikit perbincangan dengan rakan setugas mengakibatkan saya sedikit terlajak di meja kerja. Dengan perut yang tidak berisi sejak melangkah kaki meninggalkan rumah pagi tadi, saya memasang angan untuk mengalas perut dengan roti dan berharap masih dapat ke masjid sebelum khutbah bermula. Gembiranya hati saya apabila sesampai di rumah isteri tercinta bergegas menceduk nasi dan saya makan dengan express agar dapat segera ke masjid. Alhamdulillah, sesampainya di Masjid Salahuddin Desa Bayu azan pertama baru selesai dan saya dapat meloloskan diri ke saf yang selesa tidak jauh dari mimbar.

Esok adalah hari Israk Mikraj (27 Rejab) dan topik khutbah hari ini berkisar mengenai peristiwa tersebut. Saya amat teruja mendengar khutbah yang disampaikan oleh one of my favourite khatib di masjid ini (untuk entry pasal khutbah oleh khatib sama sila klik di sini). Beliau menceritakan sedikit sebanyak sejarah Israk Mikraj mengenai kisah Nabi Muhammad s.a.w. menjalani pembedahan dada untuk mencucikan ‘alaqah’ iaitu tempat syaitan membisikkan was was dan kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Baginda. Khatib muda ini juga menceritakan mengenai perjalanan Nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa termasuklah pengalaman Baginda menyaksikan pelbagai pemandangan yang memberi keinsafan dan meningkatkan iman. Beliau turut menyentuh mengenai Nabi menerima perintah menunaikan solat 5 waktu sewaktu peristiwa besar ini dan seterusnya mengingatkan bahawa solat adalah amalan pertama yang akan dihisab di hari akhirat kelak.

Imam muda ini membacakan khutbah dengan penuh bersemangat dan jiwa saya tersentuh mendengarnya. Selain itu beliau juga mengingatkan jemaah untuk mengambil iktibar dari peristiwa Israk Mikrak untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Icing on the cake bagi saya untuk khutbah Jumaat hari ini adalah cara Khatib membacakan doa dalam Bahasa Malaysia di khutbah kedua yang amat bermakna bagi saya kerana nada dan bahasa yang digunakan benar-benar meresap ke dalam dan menyentuh jiwa saya.  Antara bunyinya lebih kurang begini, “ ..............Ya Allah, berikanlah kami ketenangan seperti ketenangan Mariam semasa mengandung ketika disekelilingnya dipenuhi cemuhan, seperti ketenangan Nabi Muhammad s.a.w. semasa menghadapi dugaan dalam menyebarkan syiar Islam......”

Khatib hari ini amat sempurna kesemua perbuatan dan perkataannya di mata saya. Solat diimamkan dengan amat baik disertai bacaan surah yang pendek serta jelas. Doa sesudah solat juga serba ringkas dan tidak meleret dan mendayu-dayu. Saya begitu kagum dengan khatib ini sehinggakan saya terpanggil untuk mengenali nama beliau daripada maklumat roster pegawai masjid bertugas. Alhamdulillah dan saya doakan semoga Allah s.w.t. terus memberi beliau kekuatan untuk berdakwah dan berjuang demi agama tercinta ini. Aminnn. Sejuk perut ibu yang mengandung.

No comments: