Dari semasa ke semasa kita dikejutkan oleh berita kehilangan anak-anak kecil. Kekadang kita menarik nafas lega apabila anak-anak tersebut ditemui semula, dan kekadang kita turut tumpang sedih dan bersimpati apabila kehilangan anak disusuli berita yang menyayat hati. Selain risiko kes penculikan, tidak kurang juga kita terdengar insiden kemalangan yang menimpa anak-anak kecil. Kecuaian mungkin satu aspek yang mudah digunakan untuk menyalahkan ibu bapa, tapi saya rasa tiada ibu bapa yang sengaja cuai dan mahu perkara buruk berlaku pada anak-anak mereka.
Sebagai ibu bapa kita sentiasa bimbang akan keselamatan anak-anak
Pemahaman terhadap terma mengawas/supervise anak-anak adalah sesuatu yang amat subjektif. Ibu bapa pastinya mempunyai pendapat yang berbeza mengenai keperluan ini. Saya juga mempunyai pendapat saya sendiri mengenai keperluan pengawasan anak-anak semasa berada di luar rumah dan di tempat-tempat awam.
Secara umumnya saya berpendapat anak-anak kecil mesti sentiasa diawasi semasa aktiviti di luar rumah. Tak kiralah semasa mereka bermain di halaman, semasa di taman permainan, semasa keluar shopping dan apa juga aktiviti luar. Tak pasti sampai bila ini perlu dilakukan, terpulang kepada budi bicara ibu bapa. Tapi yang pastinya saya masih lagi melakukannya walaupun anak-anak saya telah berumur 6 tahun.
Sebagai contohnya semasa shopping, saya dan isteri akan tentukan dengan jelas tanggungjawab masing-masing dalam mengawasi anak-anak. Contohnya, isteri akan mengawas si Adik dan saya mengawas si Kakak. Fokus saya adalah kepada Kakak manakala fokus isteri kepada Adik. Harapannya dengan pendekatan ini tidak berlaku situasi “Eh…I ingat you yang jaga” yang boleh mengundang padah.
Tanpa pengawasan anak-anak mudah tertarik untuk merayau tanpa disedari
Sepanjang masa shopping saya akan pastikan Kakak berada dalam pandangan saya dan tidak akan membiarkan dia berlegar dan merayau sendirian. Radius yang saya benarkan dia bergerak sendiri bergantung kepada di mana kami berada, kalau kawasan lapang seperti di lobi atau foyer saya benarkan dia berlegar jauh sedikit tetapi masih dalam pandangan saya. Kalau kawasan sempit seperti di kawasan gedung yang penuh dengan rak-rak baju atau di pasaraya yang dibahagikan kepada pelbagai alley, saya akan memastikan Kakak berada tidak jauh dari saya. Isteri pula akan melakukan pengawasan yang sama terhadap Adik. Alhamdulillah, setakat ini belum pernah berlaku insiden anak-anak saya tersesat sendirian atau kehilangan semasa kami keluar shopping.
Kalau yang kecil kita boleh letak dalam troli....sentiasa di depan mata
Jangan biarkan anak kecil merayau bersendirian di pasaraya
Ke taman permainan memang seronok....tapi masih memerlukan pengawasan
Pengawasan juga perlu bagi memastikan anak-anak kita mempraktikkan ‘etika’ bersosial anak-anak seperti beratur, bertimbang rasa kepada yang lebih kecil, mengikut peraturan (seperti menggunakan tangga dan tidak menyonsong arus memanjat gelongsor dari bawah). Let children be children bukan bermakna membiarkan anak-anak berbuat sesuka hati tanpa memperdulikan aspek keselamatan dan mengabaikan etika sosial yang dinyatakan. Taman permainan anak-anak adalah satu kemudahan moden bagi membolehkan anak-anak kita bermain dalam suasana selesa dan terkawal. Dengan pengawasan betul InsyaAllah anak-anak kita akan dapat bermain sakan dalam suasana selamat dan dapat berinteraksi sesama rakan dalam suasana harmoni. Risiko kemalangan dan perbalahan antara anak-anak pastinya tidak dapat dielakkan 100% namun saya percaya dengan pendekatan yang saya sebutkan ianya dapat kita kurangkan.
Guna tangga, tak guna tangga...yang mana satu???
Kena peka sebab yang kecil nak bermain juga.....pelbagai peringkat umur ada bila di tempat bermain awam
Saya juga turut mengawas anak-anak saya semasa mereka bermain di luar rumah. Sejak kecil sehingga sekarang saya pasti akan berada di luar rumah setiap kali anak-anak saya bermain. Saya berpendapat ini perlu kerana di hadapan rumah saya adalah jalan taman yang dilalui kereta dan motorsikal yang boleh mengundang risiko. Saya biasanya ‘bersidai’ di tepi longkang dan kadang kala mengambil kesempatan berbual dengan jiran semasa mengawasi anak-anak bermain. Saya juga rasa perlu mengawas anak kerana kenderaan yang lalu lalang kekadang bukan main laju dan tidak bertimbang rasa terhadap anak-anak yang bermain di luar. Ada yang siap membunyikan hon memarahi anak-anak apabila terpaksa memperlahankan kenderaan mereka. Tolonglah kepada mereka ini, bawa slow-slow sikit boleh tak......namapun kawasan taman. Selain aspek keselamatan, etika berkawan juga perlu diawasi bagi anak-anak kecil kita kerana abang-abang dan kakak-kakak yang lebih besar mungkin lebih advance vocabulary mereka. Saya sendiri pernah mendengar jenis-jenis perkataan yang digunakan yang amat tidak sesuai untuk anak-anak saya mendengar. Nak tegur mungkin tak perlu kerana kita kena hormati bahawa nilai-nilai yang diterapkan kepada anak-anak adalah berbeza antara sesuatu keluarga dengan yang lain. Maka kalau saya rasa apa yang didengar anak-anak tu tak sesuai, saya akan terangkan kepada mereka bila pulang ke rumah.
Kalau rumah kita ada halaman luas senang anak nak bermain....tapi kebanyakan rumah kita tidak begini
Kalau begini rasanya memang perlu diawasi sepanjang masa
Memang keperluan mengawas anak-anak ini sesuatu yang subjektif dan kita juga tidak mahu anak-anak rasa terkongkong ekoran pengawasan keterlaluan. Tanggungjawab ini bukan sesuatu yang mudah dan pastinya semakin sukar apabila anak-anak semakin membesar. Apa yang kita boleh lakukan adalah cuba yang terbaik, dan berdoa supaya anak-anak kita dijauhkan dari sebarang bahaya dan membesar sebagai anak-anak yang gembira di samping mempunyai perwatakan dan sahsiah yang baik. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment