Anak-anak memerlukan kita apabila mereka sakit
Apa yang saya ingin saya kongsikan adalah persediaan yang kita boleh lakukan bagi menghadapi situasi kecemasan berkaitan demam. Demam walaupun pada dasarnya nampak perkara biasa, namun sebenarnya boleh menjadi kritikal jika kita tak mengawalnya dengan baik. Saya sendiri telah mendengar banyak cerita dan pengalaman kawan-kawan yang menghadapi situasi cemas apabila suhu demam mencecah tahap kritikal sehingga mengakibatkan berlaku ‘tarik’ dan lain-lain komplikasi. Dalam banyak situasi, kebanyakannya ibu bapa tidak monitor peningkatan suhu anak-anak dengan teliti dan hanya kelam-kabut ke hospital apabila berlaku situasi tarik dan sebagainya.
Daripada pengalaman saya, suhu badan anak-anak boleh berubah dalam waktu yang terlalu singkat. Pernah saya dapati suhu anak saya meningkat dari normal kepada hampir kritikal dalam tempoh 10-15 minit sahaja. Kalau anak-anak demam memang saya dan terutamanya isteri terpaksa berjaga malam bagi memantau suhu mereka. Bagaimana nak memantau dengan baik? Mestilah kena ada jangkasuhu (thermometer) yang baik. Saya amat mengesyorkan ibu bapa supaya melabur sedikit bagi membeli jangkasuhu untuk disimpan di rumah. Pelaburan ini bagi saya sendiri telah beberapa kali membantu saya membuat keputusan sewajarnya termasuklah menghantar anak-anak ke klinik pada pukul 3 pagi apabila suhu badan tidak lagi terkawal.
Jangkasuhu yang baik dapat memberi bacaan suhu yang tepat dalam masa beberapa saat
Apa yang kami lakukan sebagai permulaan apabila anak-anak demam adalah berusaha menurunkan suhu mereka secara manual menggunakan ‘cool fever patch’ iaitu pelekat serap haba yang dibeli di farmasi, lap guna tuala basah dan kalau rasa-rasa tak jalan juga, bagi mereka mandi (walaupun di tengah malam......alhamdulillah anak-anak tak meragam sangat bila dimandikan). Di rumah juga kami biasanya ada ubat demam yang dibekalkan oleh doktor dan digunakan bila suhu nampak dah sukar dikawal. Kalau ubatpun tak jalan dan suhu mula mencecah kritikal, cepat-cepat bawa berjumpa doktor. Pada saya kalau dah melepasi 39 ºC dan tidak terkawal, itu dah kira kritikal dan kena consider nak bawa jumpa doktor. Pada setiap masa, jangkasuhu adalah kawan terbaik kami untuk monitor perkembangan demam anak-anak.
Fever Patch seperti ini boleh didapati dari kedai dan farmasi
Bila dah terpaksa bawa ke klinik atau hospital, perancangan kita juga penting agar tidak membuang masa tercari-cari ke mana nak dituju terutamanya selepas kebanyakan klinik ditutup. Kita kena tahu di mana klinik 24 jam terdekat dan di mana hospital terdekat sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Sebagai contoh saya di Manjung, klinik family saya adalah di Poliklinik Mior yang saya amat yakin servisnya (promote sikit bisnes kawan2), diikuti Poliklinik Samudera yang merupakan opsyen berikutnya kerana ia dibuka 24jam dan servisnya juga saya yakin. Klinik Yasmin juga okay tapi saya kena jangka mungkin kena tunggu lama sebab selalu ramai orang so kalau nak cepat saya tak ke sana. Selain itu hospital terdekat bagi menghadapi kecemasan adalah Hospital Manjung kerana di sana ada Pediatrik. Saya tak akan pergi ke hospital Angkatan Tentera kerana saya tahu pada masa ini tiada Pediatrik di sana dan sebarang kecemasan akan dirujuk juga ke Hospital Manjung. Perancangan begini membuatkan saya berasa lebih yakin sekiranya berdepan situasi perlu menghantar anak-anak berjumpa doktor pada bila-bila masa. Nasihat saya kenal pasti di mana Pediatrik terdekat kerana hospital yang tiada pakar ini akan divert kes anak-anak anda ke hospital lain yang mempunyai pakar. Keadaan ini pernah berlaku kepada kawan saya dan masa yang terbuang ekoran menghantar anak ke hospital yang tiada Pediatrik boleh mengundang padah.
Kenal pasti samada pakar Pediatrik ada di hospital terdekat anda
Rumusannya jangan ambil ringan bila anak-anak kita demam. Pantau suhu kerana suhu mereka boleh berubah mendadak. Melabur sedikit bagi mendapatkan jangkasuhu yang baik. Cuba kawal suhu dengan kaedah sendiri serta sediakan ubat demam yang bersesuaian di rumah. Kenal pasti opsyen klinik dan hospital untuk menghadapi kecemasan pada bila-bila masa terutamanya setelah kebanyakan klinik ditutup. Ketahui di mana lokasi Pediatrik terdekat. Setelah berusaha, kita tawakal dan berdoa semoga anak-anak kita diperlihara Allah swt dan dijauhkan daripada sebarang musibah. InsyaAllah.
Anak demam..........jangan ambil ringan ye!!!!!!!!