Thursday, August 12, 2010

Menyambut Ketibaan 1 Ramadhan 1431H (11 Ogos 2010M)


1 Ramadhan tiba lagi bermula 11 Ogos 10. Tarikh 11 Ogos ini juga merupakan tarikh genap setahun Abah meninggal dunia. Sempat juga saya bersedekah doa dan bacaan Yassin untuk Abah selain mengingati beliau di dalam sanubari. Saya suka sms yang diterima daripada Abang saya yang mengimbau nostalgia bersama arwah mencari ikan di dalam hutan semasa di Felda selain terkenang kepakaran Abah membuat ‘lempeng pisang’ dan apam manis yang teramat gebu bagi kami sekeluarga. Semoga rohnya ditempatkan di sisi Allah bersama orang-orang yang beriman. Amin.

1 Ramadhan kali ini juga saya menerima tetamu seorang kawan lama rakyat Swiss yang kini menetap di USA yang datang berkunjung ke rumah. Saya sememangnya amat suka berkawan dengan beliau kerana beliau amat pandai membawa diri dan senang diajak berbual. Walaupun kawan saya ini kini bergelar mubaligh Kristian, persahabatan kami yang telah terjalin sekian lama tidak terjejas dengan perkembangan ini. Perbualan dengan beliau menjangkau sehingga jam 4 pagi amat menarik dan menguatkan lagi kepercayaan saya kepada Islam yang tercinta ini. Memandangkan kami sekeluarga berpuasa termasuk si kembar yang baru berusia 6 tahun, tetamu saya ini turut cuba berpuasa sepanjang hari dan berjaya melakukannya. Beliau juga turut mencuba segala makanan yang dihidangkan di atas meja semasa berbuka termasuklah sambal tumis udang petai yang merupakan menu utama.

Tetamu yang cukup unik dari USA

Chris menikmati sambal udang petai cara orang kita

1 Ramadhan tahun ini anak-anak perempuan saya berjaya melengkapkan satu hari berpuasa penuh. Tahun lepas mereka mencuba beberapa kali namun terkandas sekerat jalan sebelum akhirnya berjaya berpuasa sebanyak 5 hari. Tahun ini harap-harap mereka diberi kekuatan untuk berpuasa melebihi jumlah hari tahun lepas. Yang pastinya si Adik yang memang pemakan orangnya struggle sedikit di penghujung hari pertama berpuasa dan asyik merengek kelaparan. Namun, dengan galakan dan dorongan serta diversion apabila semangat dia kelihatan sedikit tergugat, Alhamdulillah habis juga kedua-duanya berpuasa.

Taktik 'diversion' bagi mengalih tumpuan dengan menyuruh mereka membantu di dapur.....tapi masih tak senyum si Adik tu

Farzana & Farhana semasa Iftar........Papa rasa bangga betul

Kesan apabila kadar gula mereka meningkat mendadak selepas berbuka

1 Ramadhan saya berpeluang bercakap dengan Mak dan mengucapkan selamat berpuasa. Hari pertama berpuasa Adik Julie ada di rumah dengan Mak kerana dia dapat MC ekoran alergi yang dialami apabila mengambil ubat. Blessing in disguise kerana sekurang-kurangnya Mak tidak keseorangan melaksanakan puasa pada hari pertama.

1 Ramadhan, seperti tahun-tahun lepas, amalan menghantar makanan ke rumah jiran kami cuba hidupkan dalam keluarga ini. Adik dan Kakak merupakan ‘wakil’ kami yang amat teruja dan tak sabar-sabar mahu menjalankan tugas. Seperti biasa, agar jiran yang menerima tidak terasa ‘obliged’ untuk membalas pemberian kami, kami gunakan bekas disposable untuk mengisi makanan tersebut.

1 Ramadhan, dengan kehadiran tetamu di rumah, saya dan isteri menjalankan ibadah solat Terawih di kediaman sendiri. InsyaAllah, saya akan cuba ke masjid untuk tujuan ini di hari-hari yang lain.

Kurma adalah makanan yang amat disunatkan bagi memulakan berbuka. Biasanya saya dan isteri akan mencari kurma yang baik sedikit kualitinya untuk persediaan Ramadhan. Alhamdulillah, rezeki kami tahun ini tak perlu membeli kurma sebab ada yang memberi sedekah. Rasanya tiga kotak yang ada cukup untuk kami sekeluarga sepanjang bulan puasa ini. Moga bertambah murah rezeki mereka yang bersedekah kurma kepada kami kali ini.

Kurma pemberian mereka yang pemurah

Dari segi amalan dan aktivitinya pula, saya telah menetapkan beberapa perkara yang saya ingin beri penekanan pada bulan mulia ini. Tak banyak beza dengan apa yang saya usahakan tahun lepas (link), dan InsyaAllah ada penambahan lain yang saya harap Allah swt beri saya kekuatan untuk melaksanakannya.

1 Ramadhan telahpun tiba. Bulan yang mulia ini hanya datang setahun sekali. Marilah kita sama-sama mempertingkat ibadat kita dan semoga segala amalan kita sepanjang bulan penuh rahmat ini diterima Allah swt dan dikurnia pahala berlipat kali ganda hendaknya. Amin.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

No comments: