Monday, October 4, 2010

Pendapat Saya Mengenai Kesihatan dan Penjagaan Kanak-Kanak

Tajuk: Child Seat….boleh ke????


Kerajaan kita telahpun mengeluarkan peraturan mewajibkan penumpang belakang menggunakan tali pinggang keledar. Di negara kita yang kelihatannya tiada had dari jumlah penumpang yang boleh disumbat ke dalam kenderaan persendirian, peraturan ini nampak macam agak bertentangan. Bagaimana nak pakai tali pinggang bila ada lima atau enam orang yang terpaksa bersesak-sesak di tempat duduk belakang.

Saya memang tak ada jawapan untuk persoalan bagaimana nak kuatkuasa peraturan tali keledar di tempat duduk belakang. Dalam situasi kalau satu keluarga ada lebih dari 5 orang tapi tak mampu nak beli MPV, bagaimana nak patuhi peraturan ini. Rasa tak masuk akal pulak kalau cuma 3 orang di belakang wajib pakai dan yang lain tak wajib…huh, apa tujuan peraturan kalau aplikasinya sebegitu rupa. Hakikatnya itulah keadaannya di negara kita ni. Tapi apa yang saya nak kongsi adalah kepada mereka yang mempunyai pilihan, dengan fokusnya kepada mereka yang mempunyai anak-anak kecil serta aspek keselamatan anak-anak ini semasa di dalam kenderaan. Memang di negara kita tidak dikuatkuasakan keperluan menggunakan tempat duduk kanak-kanak (child seat) di dalam kereta. Penggunaan tempat duduk ini sebenarnya amat penting bagi menjaga keselamatan anak-anak kita semasa di dalam kenderaan. Walaupun harganya mungkin agak mahal sikit, tapi sebenarnya ini adalah satu pelaburan yang amat saya sarankan. Kalau dilihat tempoh penggunaannya yang kerap dan untuk jangka waktu panjang bertahun-tahun, pelaburan bagi child seat sekitar harga RM 300 ke atas amat berbaloi. Tali pinggang belakang di dalam kereta kita direka untuk orang dewasa dan tidak sesuai untuk anak-anak kecil. Talinya kalau dipasang pada anak-anak nampak tak selamat kerana biasanya melintasi leher mereka dan pasti mengundang padah semasa kemalangan. Bagi menjimatkan kos, cuba beli child seat yang boleh digunakan bagi bayi kecil dan seterusnya boleh diselaraskan untuk kegunaan apabila bayi telah membesar. Dalam situasi saya, child seat yang mula-mula saya beli boleh digunakan sejak lahir sehinggalah anak-anak saya berumur 4 tahun. Lepas tu siap boleh bagi pada kawan lagi kerana keadaannya masih baik.

Jenis untuk bayi

Jenis untuk bayi dilengkapi tali pinggang keselamatan khas

Child seat ada pelbagai jenis, dari untuk kegunaan bayi sehinggalah untuk kegunaan kanak-kanak sekolah. Anak-anak kembar saya semasa bayi menggunakan child seat yang boleh diselaraskan (adjustable bucket seat) supaya dapat dibaringkan semasa mereka tidur. Child seat ini juga dilengkapi tali keselamatannya sendiri dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang digunakan sebagai ‘pengikat’ child seat ini di tempatnya. Anak-anak saya mula diletakkan di dalam child seat ini sebaik sahaja meninggalkan hospital dengan berat masing-masing 1.8kg dan 2kg (tak cukup bulan). Penggunaan jenis yang boleh dibaringkan ini hanya sesuai sehingga mereka mencecah 18kg iaitu sekitar umur mereka 4 tahun lebih.

 

Anak-anak saya menggunakan child seat jenis ini dari lahir sehingga umur 4 tahun lebih

Seterusnya saya menukar kepada jenis child seat yang boleh menampung sehingga kanak-kanak sekolah rendah dengan berat 36kg yang masih lagi digunakan sehingga kini. Jenis ini lebih sesuai untuk kanak-kanak yang besar sedikit. Selain tidak lagi dilengkapi tali keselamatan sendiri tetapi menggunakan tali keledar kereta, ianya turut ada pelapik di sisi bahagian kepala untuk menampung anak-anak semasa mereka tidur, dan semasa impak sisi.

Jenis child seat ini adalah untuk kanak-kanak yang lebih besar menggunakan seat belt kereta sebagai tali keselamatan untuk anak-anak

Anak-anak di child seat baru mereka, siap boleh improvise untuk makan berlapikkan bantal tu....

Bagi jarak dekat pula, saya menggunakan ‘booster seat’ bagi meninggikan tempat duduk anak-anak agar mereka dapat menggunakan tali pinggang keledar di belakang tanpa talinya merentasi leher mereka.



Booster seat seperti ini untuk perjalanan dekat saya gunakan dalam MyVi saya untuk hantar anak-anak ke sekolah tadika ataupun mengaji


Saya kerap melihat anak-anak kecil dipangku di tempat duduk hadapan, malah ada yang memangku di tempat duduk pemandu sambil memandu. Tidak kurang juga anak-anak yang berdiri di belakang antara kedua-dua kerusi hadapan kerana ingin melihat pandangan ke hadapan semasa kereta bergerak….bayangkan risikonya sekiranya pemandu menekan brek mengejut atau lebih dahsyat sekiranya berlaku kemalangan. Saya juga biasa mendengar bagaimana anak-anak tidak mahu dipasangkan tali keledar kerana merasa tidak bebas dan menangis apabila dalam keadaan demikian. Begitu juga bayi-bayi yang sentiasa nak dipangku dan akan menangis kalau tak dipangku dalam kereta. Susah juga......Habis tu bagaimana nak guna Child Seat....boleh ke? Bagaimana pula kalau bayi masih menyusu badan? Lagi susah.....

Saya tak ada jawapan sempurna bagi semua persoalan yang dinyatakan. Apa yang saya boleh kongsi, saya rasa anak-anak saya berjaya didudukkan di child seat kerana saya menerapkan penggunaannya dari awal dan melakukannya tanpa kompromi sehingga anak-anak saya menerimanya sebagai sebahagian ‘rutin’ naik kereta. Maksudnya kalau naik kereta mesti, tanpa gagal, duduk di child seat.....walaupun pada jarak yang dekat. Kalau ikut pengalaman saya, keadaan paling sukar adalah semasa perjalanan jauh ketika anak-anak masih bayi. Isteri saya duduk di seat depan, dan anak-anak di child seats di belakang. Mereka pula masih menyusu badan.....dan ini berlarutan hingga mereka umur 2 tahun. Isteri akan ‘lompat’ ke belakang kalau nak bagi anak-anak menyusu atau bila anak-anak meragam, dan ‘lompat’ semula ke seat depan bila anak-anak dah okay. Alhamdulillah sehingga besar ni, anak-anak saya masih boleh duduk di child seat. Kekadang tu terkompromi juga terutamanya akhir-akhir ni bila mereka dah pandai berunding (negotiate). Kekadang seorang jer duduk di belakang, yang lagi seorang akan duduk di seat depan (terutamanya kalau Mamanya tak ikut). Namun tetap pakai seat belt, dan saya sendiri kekadang ditegur anak-anak kalau lambat pasang seat belt.

Saya rasa teknik saya berjaya dengan menggunakan pendekatan tidak berkompromi sebab ini membabitkan keselamatan. Seterusnya saya dan isteri sentiasa terangkan kenapa mereka kena duduk di dalam child seat masing-masing. Dan akhir sekali, saya dan isteri juga sentiasa memakai tali keledar walaupun perjalanan yang dekat. Alhamdulillah, anak-anak telah menerima bahawa duduk di child seat adalah sebahagian dari rutin naik kereta.

Child seat dan seat belt untuk anak-anak........ tentu boleh.








2 comments:

Unknown said...

masih boleh menyusukan the twins tanpa perlu memangku mereka... (macamana??? kena imagine sendiri la ye...)

alhamdulillah, kami berjaya melakukannya... saya pasti anda juga mampu melakukannya...

Speedy No. 9 said...

Jangan imagine....tak boleh imagine...dilarang imagine....:)