Friday, February 19, 2010

Renungan Hari Jumaat 19 Feb 2010

Gambar hiasan
(Masjid yang saya kunjungi untuk solat Jumaat semasa zaman kanak-kanak rupanya lebih kurang masjid ini.  Rekabentuk yang serupa bagi kebanyakan masjid di Felda suatu ketika dulu)

Hari ini saya ke masjid yang sama macam minggu lepas untuk solat Jumaat. Kali ni saya terpaksa parking lebih jauh dari minggu lepas dan bermakna saya terpaksa menapak lebih jauh dari minggu lepas.

Saya sampai betul-betul ketika azan pertama sedang berkumandang. Jam lebih kurang 1.35pm dan hari panas terik, dan jemaah pastinya berdepan cabaran untuk membuka mata dan minda sepanjang berada di masjid. Namun, pada pendengaran saya, suara Bilal yang melaungkan azan adalah terlalu syahdu dan mendayu-dayu sehingga boleh membantu jemaah semakin dibuai mimpi di waktu tengahari yang berbahang itu. Alunan azan kali kedua juga tidak banyak berbeza dengan yang pertama, terasa tidak ‘bersemangat’ untuk menarik perhatian jemaah kepada khutbah yang akan dibacakan. Saya merasakan azan adalah ‘panggilan’ untuk mengerjakan ibadat maka kalau kita nak memanggil seseorang, panggilan tersebut mestilah menarik dan bersemangat. Saya yakin azan yang baik sebagai permulaan akan menyediakan asas yang baik untuk jemaah lebih tekun dan fokus kepada khutbah Jumaat.

Khutbah minggu ini berkisar mengenai salah guna dadah. Pada permulaannya lagi saya terasa terganggu dengan suara kanak-kanak bermain di anjung tepi masjid. Minggu ini pula tiada peringatan supaya anak-anak tidak membuat bising, manakala suara Khatib pula tenggelam timbul dek masalah pembesar suara. Saya berusaha juga untuk mendapatkan sinopsis khutbah yang dibacakan. Namun secara keseluruhannya saya merasakan intipatinya terlalu retorik, dengan peringatan yang kita terlalu biasa dengar dan cara penyampaian yang terlalu biasa. Dadah membawa keburukan kepada diri sendiri, masyarakat dan menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah. Khatib pada awalnya menyebut mengenai peranan setiap insan sebagai pemimpin tapi saya tidak mendengar pula bagaimana peranan insan sebagai pemimpin dalam menangani gejala dadah. Khatib juga mengingatkan jemaah tidak terlalu mudah percaya dengan tawaran lumayan pekerjaan ataupun pakej percutian di luar negara yang kadangkala didalangi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memerangkap individu untuk menjadi pengedar dadah. Masih terlalu retorik pada pandangan saya.

Secara keseluruhannya saya berada di masjid tidak sampai 1 jam, bermula dari keluar kereta ketika sampai sehinggalah masuk semula ke kereta setelah selesai solat Jumaat. Waktu jemaah di masjid adalah amat singkat, maka amat rugilah sekiranya solat Jumaat hanya menjadi satu ritual yang tidak membawa impak yang diharapkan. Saya merasakan fokus yang lebih boleh diberikan dalam mengelola aktiviti solat Jumaat bermula daripada pengurusan parking, cara kutipan derma, azan, kandungan dan cara penyampaian khutbah sehinggalah kepada pelaksanaan solat itu sendiri. Saya yakin dengan penekanan attention to details, solat Jumaat akan menjadi lebih bermakna dan membawa impak yang lebih besar kepada umat Islam. Solat Jumaat adalah forum di mana berkumpulnya paling ramai umat Islam lelaki yang kebanyakannya merupakan pemimimpin dalam konteks masing-masing, maka amatlah baiknya sekiranya para pemimpin ini dapat membawa sedikit sebanyak pengajaran yang diperolehi semasa khutbah Jumaat untuk disampaikan kepada orang-orang yang dipimpin mereka.  Wallahualam.

No comments: