Friday, February 12, 2010

Sinopsis Khutbah Jumaat 12 Feb 10

Masjid Nurul Hidayah selepas dibaikpulih

Hari ini saya menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Nurul Hidayah yang merupakan masjid daerah Manjung. Masjid ini yang telah menjalani proses baikpulih dan naik taraf sejak tahun 2008 beroperasi semula mulai 15 Jan 10. Ini adalah kali pertama saya melangkahkan kaki ke masjid ini sejak ia dibuka semula.

Saya tiba di masjid beberapa minit sebelum Azan. Kebiasaannya dulu saya akan naik ke tingkat atas yang merupakan ruang utama masjid ini. Namun sebaik melangkah masuk kali ini saya mendapati ruang utama masjid ini telah diubah ke tingkat bawah. Saya tetap naik ke tingkat atas dan duduk di barisan hadapan sekali tingkat ini yang terbuka dihadapannya menghadap mimbar di tingkat bawah. Saya mendapat tempat betul-betul di hadapan mimbar dan dipisahkan dengan kedudukan khatib yang akan membaca khutbah lebih kurang 20 kaki ke belakang dan 10 kaki ke atas. Kedudukan ini memberikan saya view yang paling jelas mengenai pergerakan dan apa sahaja yang dilakukan oleh Khatib.

Sinopsis khutbah
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Khatib memulakan khutbah dengan mengingatkan anak-anak yang berada di dalam masjid agar tidak membuat bising dan mengganggu jemaah. Beliau mengingatkan fadhilat mendengar khutbah dan kerugian pahala Jumaat sekiranya perkara ini terabai.

Beliau seterusnya memberitahu yang walaupun masjid telah dibuka semula, namun masih kekurangan dana sebanyak RM400 ribu untuk menampung keseluruhan keperluan penambahbaikan. Beliau menyeru para jemaah agar sama-sama menyumbang kepada dana tersebut agar jumlah yang dinyatakan dapat dikumpulkan.

Khutbah minggu ini berkisar mengenai harta. Saya suka khutbah minggu ini, dan ditambah dengan kedudukan baru saya yang strategik, pemandangan dan perhatian saya tertumpu sepenuhnya kepada khutbah yang disampaikan. Antara perkara yang saya ingat mengenai intipati khutbah kali ini adalah seperti berikut:

1. Harta bukanlah matlamat mutlak, namun ianya hanya merupakan satu kaedah (mean) ke arah ketakwaan kepada Allah.

2. Harta yang diperolehi mestilah dibelanjakan kepada hak-haknya. Kita tidak boleh menurut hawa nafsu dalam berbelanja.

3. Meninggalkan dunia dan harta kerana mengejar akhirat adalah pendekatan yang salah kerana ini akan mengakibatkan umat Islam akan setiasa terkongkong dan dibelenggu kepompong yang menyekat kemajuan dunia Islam.

4. Akhir sekali Khatib merumuskan 3 aspek berkaitan harta yang sangat digemari Syaitan dalam usaha menyesatkan umat Islam:

~ Mencari harta dengan cara yang salah.

~ Membelanjakan harta yang diperolehi ke jalan yang salah.

~ Mempunyai sikap terlalu sayangkan harta kekayaan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Mata saya terang benderang sepanjang saya di masjid hari ini. Selepas mendengar khutbah yang amat berharga, Khatib yang seterusnya mengimamkan solat juga mempunyai suara yang merdu dan sejuk didengar. Semasa menjadi Imam, beliau hanya membaca surah lazim yang agak pendek dalam kedua-dua rakaat solat. Namun tidak terlalu pendek juga kerana saya dapat menghabiskan Al-Fatihah tanpa terkejar-kejar. Just nice. Dan saya rasa pendekatan membaca surah yang tidak terlalu panjang adalah amat sesuai kerana ada antara para jemaah termasuklah abang yang duduk di sebelah saya merupakan kalangan yang berumur ataupun uzur.

Antara pemerhatian saya yang lain adalah majoriti jemaah di saf depan memakai serban dan diselangi hanya beberapa orang yang memakai songkok dan kopiah (tak ada motifnya di sini, cuma pemerhatian jer…..yelah nampak sebaris jer serban dari kedudukan strategik saya di tingkat atas).

Saya merasakan bahasa yang digunakan oleh Khatib untuk mengingatkan anak-anak supaya tidak membuat bising adalah terlalu formal dan mesejnya mungkin tidak sampai kerana masih kedengaran hingar bingar di belakang sepanjang khutbah. Saya pernah melihat di masjid Dato’ Seri Kamarudin di mana selepas diberi peringatan masjid menjadi senyap sunyi dan jemaah dapat mendengar khutbah dengan jelas dan aman. Bahasa yang digunakan tidak kasar tapi jelas mesejnya kepada ‘target group’ iaitu anak-anak dan sekurang-kurangnya menyebabkan mereka segan nak buat bising. Selain itu, saya juga berpendapat bapa-bapa yang membawa anak-anak ke masjid boleh memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak sendiri (dengan memastikan mereka sentiasa di sisi) dan tidak membiarkan mereka bergurau senda dengan kawan-kawan yang lain.

Saya menjadikan kebiasaan melihat wajah ‘orang sebelah’ yang saya salam kerana saya mendapati orang kita ni kadang-kadang salam tapi tak pandang mukapun. Hari ini saya mendapat reward kepada usaha saya itu kerana abang yang bersebelahan saya bukan sahaja melihat muka saya malah tersenyum yang kelihatan begitu ikhlas semasa bersalaman. Alhamdulillah. Next time kena ingat, salam tengok muka….dan senyum (bless that Abang).

Satu yang mata saya sensitif adalah apabila saya melihat orang yang meletakkan kenderaan di masjid dalam kedudukan menghalang atau lebih teruk double parking. Saya gagal memahami kenapa perbuatan dan niat kita ke masjid tidak dapat menghalang kita daripada berbuat demikian. Saya juga mengharapkan masjid-masjid kita mempunyai pintu masuk utama (gate) ke kawasan masjid yang lebih luas. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan….bila dah sesak tu ada yang terpijak, terpotong, terhimpit, terlanggar (biasanya basikal :=)) dan macam-macam risiko yang boleh mengurangkan pahala dan mengundang dosa, malah dapat memberikan persepsi yang masjid bukan kawasan ‘restricted area’.

Semasa saya berjalan balik ke kereta yang saya letakkan agak jauh dari masjid saya merasakan amat bertuah memilih untuk ke masjid Nurul Hidayah Manjung hari ini untuk bersolat Jumaat. Alhamdulillah.